Friday, September 25, 2009

Amah Indonesia vs Malaysian.

Amah RM25 satu jam

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my

Majikan boleh dapat diskaun jika guna khidmat secara pakej

KUALA LUMPUR: Bayaran khidmat pembantu rumah mengikut jam yang akan dicadangkan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa) kepada kerajaan dianggarkan pada kadar RM25 hingga RM50 sejam dengan diberikan pakej istimewa supaya tidak membebankan pelanggan.

Pelanggan yang mengambil pakej istimewa berdasarkan tempoh perkhidmatan secara mingguan atau bulanan akan diberikan diskaun supaya tidak membebankan mereka, kata Presiden Papa, Datuk Raja Zulkepley Dahalan.

Beliau berkata, kadar bayaran juga berbeza mengikut kategori perkhidmatan seperti menjaga orang sakit dan warga emas; menjaga bayi, kanak-kanak dan ibu dalam pantang selepas bersalin; dan melakukan kerja rumah serta pembersihan.

"Jika pelanggan menggunakan perkhidmatan untuk tempoh yang lama, mereka akan diberikan potongan khas sebagai tanda prihatin, terutama yang terdesak atau dalam kecemasan dan memerlukan khidmat pembantu rumah.

"Sebagai contoh, jika menggunakan perkhidmatan sejam, bayarannya mungkin banyak tetapi jika sehingga lima jam, mereka akan diberikan diskaun. Namun, bayaran sebenar akan ditetapkan pada kadar yang munasabah dan tidak membebankan berdasarkan rundingan dengan kerajaan kelak," katanya kepada Berita Harian semalam.

Raja Zulkepley juga berkata, pelbagai faktor akan diambil kira dalam menentukan kadar bayaran, termasuk kategori perkhidmatan, lokasi, kuasa pasaran semasa serta kos yang ditanggung agensi seperti penghantaran pembantu rumah kepada pelanggan.

Selain itu, beliau berkata, agensi bebas menawarkan bayaran dalam lingkungan kadar yang ditetapkan untuk membolehkan pelanggan membuat pilihan kerana tidak akan ada monopoli, sebaliknya wujud persaingan sihat di kalangan agensi, terutama dari segi kualiti perkhidmatan.

"Hasrat Papa ialah untuk membolehkan orang ramai menikmati perkhidmatan pada kadar bayaran yang serendah mungkin. Justeru, kerajaan diharap dapat memudahkan kerenah birokrasi dan mengurangkan levi yang boleh mengakibatkan kos meningkat.

"Difahamkan ada sindiket perkhidmatan pembantu rumah harian haram mengenakan RM60 sejam atau antara RM1,200 hingga RM1,300 sebulan. Mangsanya ialah orang ramai yang terdesak atau kecemasan untuk mendapatkan khidmat pembantu rumah sementara," katanya.

Justeru, beliau berkata, jika kerajaan meluluskan cadangan Papa, orang ramai bukan saja boleh mendapatkan perkhidmatan pada kadar berpatutan, malah tidak perlu bimbang dengan pelbagai risiko berkaitan pembantu rumah yang disediakan sindiket haram.

"Malah, untuk kemudahan pelanggan, ada cadangan supaya tempahan boleh dilakukan melalui internet atau panggilan telefon," katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan orang ramai boleh menjimatkan kos pembantu rumah sehingga purata RM900 sebulan jika kerajaan meluluskan cadangan Papa supaya khidmat pembantu rumah dibayar mengikut jam perkhidmatan.

Papa juga mencadangkan visa blok atau berkumpulan dan permit kerja sementara diberi secara kuota kepada agensi berkelayakan yang turut menguruskan kemasukan, pendaftaran, penempatan, tempat kediaman, kebajikan serta perkara lain berkaitan pembantu rumah serta hanya agensi berdaftar dengan persatuan dibenarkan menguruskan perkhidmatan itu.


Everything written in red above was published in Berita Harian yesterday 24-September-2009. Only oen thing I want to say.... I'd rather pay, a Malaysian, no matter Malay, Indian or Chinese to be the amah and pay RM25 to RM50 per hour than paying the Indonesians. Why should I pay them so much when Malaysians do need job and they are getting paid less than RM10 per hour to work in the factory or even in KFC. Seriously...